Di dalam sebuah negeri gergasi Lap Sin La, Raja gergasi bernama Kotan, isteri bernama Mayang Pandan. Mereka mempunyai seorang anak gadis bernama Mayang Mas. Tersebut pula di dalam sebuah negeri lain iaitu negeri manusia bernama Maha Indera, Rajanya Indera Mawar dan Permaisuri Ratna Dewi. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Lela Sakti. Pada satu masa ayah dan ibu Lela Sakti hendak mengahwinkan anaknya itu. Tetapi Lela Sakti tidak mahu berkahwin dengan sesiapa pun, dia asyik hendak memburu binatang dalam hutan sahaja. Ayah dan ibu Lela Sakti sangat bimbang terhadap anaknya yang suka berburu sahaja.
Pada satu malam seorang dewa-dewa dari atas kayangan telah turun ke negeri Lap Sin La dan terus masuk ke bilik Mayang Mas yang sedang tidur dan melukis wajah Mayang Mas. Gambar Mayang Mas itu dihantar kepada Lela Sakti yang juga sedang tidur dan selepas meletakkan gambar Mayang Mas disisinya dewa-dewa itu terus naik ke atas kayangan. Pada pagi esok apabila Lela Sakti terjaga dari tidur dia ternampak gambar seorang gadis yang sangat cantik. Dia berkenan dan memuja gambar itu siang dan malam hingga lupa tentang dirinya yang tidak makan dan minum.
Pada satu hari Raja menyuruh hambanya memanggil Lela Sakti kerana sudah beberapa hari dia tidak makan dan minum. Hamba Raja ternampak Lela Sakti sedang asyik memuja-muja gambar seorang gadis. Hamba itu balik menyembahkan pada Raja. Ibunya datang hendak melihat gambar itu tetapi tidak diberinya. Raja suami isteri sangat susah hati kerana anaknya sudah gila pada gambar perempuan lalu Raja mengerahkan segala rakyat Jelata supaya datang berhimpun di istana sama ada anak dara atau janda kerana hendak memilih seorang jodoh kepada. anaknya. Maka penuh sesaklah kota istana didatangi oleh anak-anak gadis dan janda untuk mengadu nasih siapakah yang akan dipilih menjadi menantu Raja.
Raja memanggil Lela Sakti keluar memilih salah seorang gadis yang berkenan dihatinya untuk dijadikan isteri. Setelah Lela Sakti melihat semua perempuan yang berhimpun itu tidak seorang pun dia berkenan lalu terus masuk ke dalam biliknya memuja gambar Puteri Mayang Mas. Raja sangat marah pada Lela Sakti kerana tidak seorang pun yang berkenan dihatinya walaupun seluruh rakyat jelata telah datang berhimpun di kota istana itu. Raja menyangka anaknya itu sudah menjadi gila.
Pada waktu malam Lela Sakti sedang tidur dewa-dewa dari kayangan telah menghantar seekor kuda Sakti. Apabila Lela Sakti bangun tidur dia terkejut mendapati seekor kuda berada di dalam biliknya. Kuda itu bernama Si Jinggi Hijau. Lela Sakti hairan bagaimana kuda itu boleh masuk ke biliknya. Kuda itu datang menghampirinya dan menahan belakangnya seolah-olah memberi isyarat menyuruh Lela Sakti naik di atas belakangnya. Lela Sakti pun naik di atas belakang si Jinggi Hijau. Lalu kuda itu terus terbang dan berhenti di atas puncak gunung untuk berihat sebentar.
Tersebut kisah di dalam istana riuh rendah rakyat jelata kerana Lela Sakti sudah hilang tidak tahu ke mana hendak pergi mencari.
Selepas kuda itu berehat di atas puncak gunung dengan Lela Sakti ia terbang pula dan turun dalam sebuah taman. Taman itu ialah taman gergasi Kontan yang dijaga oleh dua orang tua suami isteri. Mereka itu tidak mempunyai anak, suaminya bernama Pak Iman dan isterinya Mak Iman. Pak Iman dan Mak Iman bertanya pada Lela Sakti. Katanya dia telah tersesat jalan dibawa oleh kuda itu. Orang tua itu memberitabu bahawa taman itu adalah taman larangan dan tidak dibenarkan sesiapa pun masuk. Maka berlakulah satu pergaduhang Lela Sakti menangkap, dan mengikat Pak Iman. Pak Iman memberitahu bahawa dia menjaga taman itu supaya sesiapa pun tidak boleh masuk sekiranya sesiapa masuk ke dalam taman itu dia akan dibunuh oleh gergasi Kontan. Dia mempunyai, seorang anak gadis bernama Puteri Mayang Mas. Dia berkata pada Pak Iman hendak masuk melihat anak gadis itu. Pak Iman menyuruh Lela Sakti membuka ikatannya dahulu dan katanya Lela Sakti hendaklah tinggal bersamanya dan mengaku bahawa Lela Sakti adalah anaknya.
Pada pagi esok Lela Sakti keluar dan berjumpa dengan hamba yang disuruh oleh Raja mencari Lela Sakti. Mereka pergi ke dalam taman. Pada masa itu Puteri Mayang Mas sedang bersiar-siar di dalam taman bersama dengan dayang dayang. Lela Sakti dan Puteri Mayang Mas telah jatuh hati dan mereka berjanji akan berjumpa semula. Mayang Mas menunggu dibiliknya di sebelah matahari jatuh. Pada malam itu Lela Sakti pun pergi dengan hambanya. Mayang Mas membukakan pintu biliknya dan Lela Sakti pun masuk sementara hambanya menunggu di luar. Lela Sakti tertidur di dalam bilik dan hambanya juga tertidur di luar. Apabila pengawal rumah gergasi itu berjalan-jalan dia ternampak seorang lelaki sedang tidur dekat bilik Mayang Mas. Pengawal itu mengintai ke dalam bilik Mayang Mas dan ternampak seorang lelaki tidur dengan Mayang Mas. Pengawal itu berfikir sekiranya diberitahu pada gergasi nescaya dia yang bersalah kerana tidak menjalankan tugasnya dengan betul hingga dapat orang masuk ke dalam kawasan itu. Sekiranya dia tidak memberitahu gergasi sudah tentu dia juga yang bersalah. Pengawal itu menahan ranjau di hadapan pintu bilik Mayang Mas.
Apabila terdengar bunyi ayam berkokok Mayang Mas memanggil Lela Sakti dan memberitahunya bahawa dia tidak, boleh menunggu lama di dalam bilik itu, dia mesti keluar kerana hari sudah hampir siang. Lela Sakti pun bangun dan dengan tergopoh-gapah dia keluar dari bilik maka terkena pada ranjau yang, ditahan olah pengawal rumah gergasi itu dan terus pengsan. Hamba Lela Sakti memangku Lela Sakti dan tidak lama kemudian emak Mayang Mas pun datang. Emak Mayang Mas bertanya pada hamba Lela Sakti asal keturunannya. Hamba itu menceritakan bahawa Lela Sakti adalah seorang anak Raja negeri Maha Indera dan meminta mereka jangan memberitahu ayah dan ibunya sekiranya dia mati, hanyutkanlah dia ke dalam laut atau sungai kerana dia tidak mahu memberi malu pada ayah dan ibunya yang termasyur. Pada pagi itu Lela Sakti dimasukkan ke dalam sebuah perahu dan dihanyutkan ke dalam sungai dan hamba Lela Sakti terus balik memberitahu pada Pak Iman.
Tersebutlah pula kisah burung geruda apabila melihat sebuah perahu terapung-apung di dalam sungai lalu turun dan ternampak seorang anak Raja dan mengambilnya serta diserahkan kepada Mahaguru Maharasyi Matapi. Mahaguru itu memuja supaya Lela Sakti sedar semula. Apabila Lela Sakti cedar semula dia berkata pada Mahaguru dia tetap hendak mengambil Puteri Mayang Mas lalu memohon pada Mahaguru hendak balik ke rumah Pak Iman. Pak Iman menyangka bahawa Lela Sakti telah mati.
Pada sebelah malam Lela sakti terus pergi ke bilik Mayang Mas. Puteri Mayang terkejut melihat Lela Sakti dan menyuruhnya masuk ke dalam biliknya. Lela Sakti dan Puteri Mayang Mas berkasih sayang seperti suami isteri. Maka datanglah pengawal rumah gergasi itu mengepung dan hendak menangkap Lela Sakti. Sementara itu Raja Gergasi Kontan melarikan Puteri Mayang hingga sampai di atas puncak gunung. Di situ ada sebuah gua Batu Belah Batu Bertangkup dan membawa masuk Puteri Mayang ke dalam gua itu. Selepas meninggalkan Mayang Mas di dalam gua Raja Gergasi Kontan keluar menyamar diri sebagai seorang dewa-dewa. Lela Sakti dan hambanya pun sampai dekat Gua Batu Belah Batu Bertangkup. Dia bertanya pada Lela Sakti hendak ke mana dan apa hajatnya dia akan menolong. Katanya dia hendak mengambil Puteri Mayang Mas yang telah dilarikan oleh ayahnya ke dalam gua itu. Lela Sakti kurang percaya bahawa orang itu dewa-dewa lalu bertanya bahawa adakah ia benar dewa-dewa. Katanya sekiranya benar dewa dewa dia akan cuba memanahnya dengan bulu burung geruda. Sekiranya kena panahnya itu walau apa sekali pun ia akan balik menjadi yang asal. Kalau bukan dewa-dewa ia akan bertukar menjadi asalnya. Lela Sakti pun memanah gergasi yang menyamar sebagai dewa-dewa itu. Gergasi itu bertukar menjadi gergasi semula. Apabila kena panah Raja Gergasi Kontan pun jatuh dan sebelum ia mati Raja Gergasi Kontan itu berkata dia bersetuju mengambil Lela Sakti menjadi menantunya. Sebelum Lela boleh masuk ke dalam gua mengambil Puteri Mayang, Gergasi Kotan mengajar satu ilmu kesaktian untuk membuka pintu gua. Selepas memberi ilmu itu Gergasi Kontan pun mati. Lela Sakti pergi menuju ke gua Batu Belah Batu Bertangkup dan apabila sampai di pintu gua Lela membaca doa itu dan pintu pun terbuka. Lela Sakti terus masuk. Hambanya menunggu di luar pintu gua. Lela Sakti pun berjumpa dengan Puteri Mayang Mas dan membawanya keluar. Mereka pergi mengambil mayat gergasi Kontan untuk dibawa balik ke negerinya. Lela Sakti pun berkahwin dengan Puteri Mayang Mas dan ditabalkan menjadi raja memerintah Lap Sin La negeri gergasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan