<< Halaman Lain

Wayang Kulit merupakan salah satu seni teater tradisional tertua di Asia Tenggara. Wayang kulit ini berkembang selatan Siam, selatan Myanmar, Utara Sumatra dan Utara Semenanjung (Kedah dan Perlis.). Di selatan siam dikenali sebagai Nang Talung manakala di utara Semenanjung disebut sebagai Wayang Gedek @ Gedik. , "Gedek" itu ialah sejenis wayang kulit yang diberikan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sewaktu berlangsungnya Bengkel Wayang Kulit di Port Dickson pada tahun 1979. Apa yang difahamkan dengan perkataan "gedek" ialah pergerakan patung-patung wayang kulit itu sendiri yang terlompat-lompat atau tergedik-gedik mengikut bahasa Melayu Kedah apabila ianya digerakkan atau dimainkan di kelir atau layar.

Selasa, 22 November 2011

Nila Utama

Di dalam sebuah negeri Rajanya mempunyai dua orang isteri. Isteri pertama adalah benih manusia dan isteri muda berasal dari benih gergasi. Mereka mem­punyai seorang anak dengan isteri tua iaitu anak lelaki bernama Nila Utama. Apabila Nila Utama sudah berumur lima tahun Raja hendak memberi pelajaran kepada anaknya itu. Tetapi sebelum diberi pelajaran anak itu mesti di­tilik terlebih dahulu oleh pak nujum sema ada anak itu membawa tuah atau celaka. Berita itu telah sampai ke pengetahuan isteri muda lalu ia pun berasa dengki ter­hadap Nila Utama.

Isteri Muda Raja iaitu ibu tiri Nila Utama pergi kepada ahli nujum dan menyuruh pak nujum itu menyatakan pada Raja bahawa Nila Utama adalah seorang budak yang akan membawa celaka ke dalam negeri. Sekiranya dipeli­hara juga satu bala akan menimpa iaitu berupa api yang akan membakar kota istana. Pada besok hari Raja menga­rahkan hambanya pergi memanggil pak nujum datang ke istana. Apabila pak nujum datang dia mengatakan pada Raja sepertimana yang disuruh oleh isteri muda. Mendengar­kan kata-kata pak nujum itu maka Raja dengan serta merta marah kepada Nila Utama dan menghalaunya keluar dari istana. Ibu Nila Utama berkata pada Raja supaya jangan dihalau Nila Utama dan lihatlah dahulu sama ada ia benar membawa celaka atau tidak.
Pak nujun yang telah dihasut oleh isteri muda Raja telah memuja-muja supaya hantu membawa api dan membakar istana. Bila sampai dalam istana segala rakyat jelata riuh rendah melihat api. Dengan serta merta Raja menghalau Nila Utama dan bondanya keluar dari istana.

Dua beranak ini keluar dari istana sehelai sepinggang sehingga memasuki di sebuah hutan. Semasa berada dalam hutan seorang gergasi telah menangkap ibu Nila Utama untuk dijadikan isteri. Kebetulan gergasi itu mempunyai seorang anak gadis bernama Seri Pik. Anak gadis itu bersimpati dengan ibu Nila Utama dan marah dengan sikap bapanya. Seri Pik mengajak ibu Nila Utama tinggal bersamanya supaya bapanya tidak boleh kahwin dengannya.

Nila Utama merayau-rayau di dalam hutan mencari ibunya. Beliau dijumpai oleh seorang anak gadis Maharasyi Matapi bernama Si Kuntum Bunga yang sedang bersiar-siar di dalam taman. Si Kuntum Bunga bertanya pada Nila Utama mengapa dia sampai ke dalam taman itu. Nila Utama pun menceritakan peristiwa ibunya ditangkap oleh gergasi. Si Kuntum Bunga turut sama bersedih. Si Kuntum Bunga membawa balik Nial Utama ke rumah Maharashyi Matapi. Akhirnya Nila Utama dikahwinkan dengan Si Kuntum Bunga. Walau bagaimanapun Nila Utama sentiasa gelisah kerana teringatkan pada ibunya lalu mengajak isterinya keluar mencari bondanya. Mereka ditemani oleh dua orang hamba yang taat setia. Apabila sampai di satu tempat di bawah sepohon kayu mereka berasa letih dan berehat di situ hingga tertidur.

Tersebut pula kisah seorang anak gadis Maharasyi Makapan bernama Seri Dewi telah keluar bermain-main di dalam taman. Dia hendak mencuba ilmu yang diberi oleh Maha­gurunya iaitu ilmu terbang. Lalu dia pun terbang dan nampak Nila Utama, Si Kuntum Bunga dan dua hamba sedang tidur di bawah pohon rendang. Seri Dewi tertarik pada Nila Utama, dia hendak mengambil Nila Utama menjadi suaminya. Dipukaunya mereka yang, sedang tidur dan dibawa Nila Utama balik ke tempatnya, tanpa pengatahuan daripada Mahagurunya. Tidak berapa lama mereka yang di bawah pohon rendang itu terjaga  dari tidur dan mendapati Nila Utama sudah tiada.  Si Kuntum Bunga merasa sedih dan dia menurun untuk mendapatkan firasat. Setelah  mendapat firasat mereka pun menyusuri arah Nila Utama berada hingga sampai ke rumah Mahaguru dan menuduh orang tua itu mencuri suaminya. Mahaguru terkejut mendengar dia dituduh mencuri suami orang lalu memanggil anaknya Seri Dewi kerana dia tidak tahu apa apa tentang perkara itu. Apabila melihat Seri Dewi keluar  Si Kuntum Bunga naik berang dan menyerang Seri Dewi. Dalam pertarungan itu Seri Dewi lebih kuat daripada si Kuntum Bunga. Seri Dewi menangkap Si Kuntum Bunga lalu dibaling sehingga jatuh di rumah Mahaguru Marasyi Matapi. Hambanya berdua itu berlari  mengikut Si Kuntum Bunga terjatuh. Si Kuntum Bunga memberitahu  Mahaguru Marasyi Matapi bahawa dia telah bergaduh dengan Seri Dewi di atas kehilangan suaminya.  Mendengar cerita tersebut Mahaguru Marasyi Matapi terbang menemui Maharasyi Makapan.

Mahaguru Marasyi Matapi mencerita hal yang sebenarnya kepada Mahaguru Makapan. Mahaguru Makapan memanggil anaknya Seri Dewi dan berkata sekiranya ia tertarik juga pada Nila Utama hendaklah berbaik-baik dengan Si Kuntum Bunga. Dengan itu Nila Utama mempunyai dua orang isteri.

Kemudian Nila Utama menyuruh Seri Dewi terbang mencarikan ibunya. Seri Dewi pun pergi lalu membakar rumah gergasi. Dia berlawan dengan gergasi dan gergasi itu dibunuhnya. Siti Dewi membawa balik ibu Nila Utama bersama anak gergasi Seri Pika. Maka Nila Utama bertemu balik dengan ibunya dan dia berkahwin pula dengan Seri Pika. Tinggallah Nila Utama aman damai dengan tiga orang isterinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan