<< Halaman Lain

Wayang Kulit merupakan salah satu seni teater tradisional tertua di Asia Tenggara. Wayang kulit ini berkembang selatan Siam, selatan Myanmar, Utara Sumatra dan Utara Semenanjung (Kedah dan Perlis.). Di selatan siam dikenali sebagai Nang Talung manakala di utara Semenanjung disebut sebagai Wayang Gedek @ Gedik. , "Gedek" itu ialah sejenis wayang kulit yang diberikan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sewaktu berlangsungnya Bengkel Wayang Kulit di Port Dickson pada tahun 1979. Apa yang difahamkan dengan perkataan "gedek" ialah pergerakan patung-patung wayang kulit itu sendiri yang terlompat-lompat atau tergedik-gedik mengikut bahasa Melayu Kedah apabila ianya digerakkan atau dimainkan di kelir atau layar.

Selasa, 22 November 2011

KISMI ALAM

Raja Bota Gangga Indera mempunyai dua orang anak bernama Kismi Alam dan Kismi Dewa. Kismi Alam dihantar oleh ayahandanya untuk menuntut ilmu kesaktian dengan seorang guru bernama Ajal Jangga sedangkan adiknya Kismi Dewa pula menuntut ilmu menjaga diri dari seorang guru yang lain.


Setelah beberapa lama menuntut ilmu kesaktian itu maka Kismi Alam pun tamatlah pangajiannya dengan guru tersebut dan tibalah masa beliau hendak pulang ke negerinya untuk mengadap ayahandanya Bota Gangga Indera. Sebelum dibenarkan pulang gurunya telah berpesan kepadanya supaya menjaga dengan baik segala ilmu yang telah diperturunkan dan tidak menggunakan ilmu tcrscbut untuk perkara-perkara kejahatan. Ini kerana segala ilmu itu adalah dalam kekuasaan Sang Agong Maha Dewa.


Sampai ke negerinya, Kismi Alam pun mengadap ayahandanya dan di situ berjumpalah ia dengan adindanya Kismi Dewa yang juga telah tamat dari menuntut ilmu.


Kemudian timbullah keinginan Kismi Alam hendak beristeri, tetapi malangnya perempuan pilihannya ialah Tuan Puteri Sita Dewi yang telah pun menjadi isteri kepada Seri Rama yang memerintah negeri Susia Mendara Pura. Beliau dinasihati oleh adiknya supaya jangan mengambil isteri orang kerana, perbuatan demikian akan menimbulkan kemurkaan Sang Agong Maha Dewa. Kismi Alam tidak menghiraukan nasihat adiknya lalu pergi ke negeri Susia Mendara Pura untuk merampas Sita Dewi dari Seri Rama.


Dipintu kota beliau berjumpa dengan Kusima Wak Long dan Pak Dogol dan memberi tahu mereka ia hendak berjumpa dengan Seri Rama untuk meminta Seri Rama menyerahkan Sita Dewi kepadanya bagi dijadikan isterinya.


Setelah diberitahu oleh Wak Long dan Pak Gogol, Seri Rama pun amarah lalu memerintahkan hulubalang dan rakyatnya menangkap Kismi Alam.


Terjadilah satu peperangan yang sengit diantara rakyat Seri Rama dengan Kismi Alam. Tetapi semua rakyat Seri Rama telah ditewaskan oleh Kismi Alam.


Akhirnya Seri Rama sendiri pula terpaksa keluar untuk menentang Kismi Alam, tetapi baginda juga dapat ditewaskan oleh Kismi Alam. Oleh yang demikian Seri Rama pun berjumpa seorang nujum besar dalam negerinya yang bernama Babu Sanang untuk mencari jalan bagi menewaskan Kismi Alam.


Mengikut nujum tersebut, untuk mengalahkan Kismi Alam, Seri Rama hendaklah menyuruh Hanuman Kera Putih pergi berjumpa dengan Ajal Jangga Indera iaitu guru kepada Kismi Alam.


Setelah Hanuman berjumpa dengan Ajal Jangga Indera dan memberitahu beliau bahawa muridnya yang bernama Kismi Alam sedang membuat kezaliman di negeri Susia Mendara Pura kerana hendak merampas Sita Devi dari Seri Rama itu, maka murkalah Ajal Jangga Indera di dalam hatinya. Dengan itu maka Kismi Alam pun hilanglah segala ilmu kebatinan yang dituntutnya dan tidak berdaya lagi hendak menentang Seri Rama. Akhirnya Kismi Alam pun matilah dibunuh oleh Seri Rama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan