<< Halaman Lain

Wayang Kulit merupakan salah satu seni teater tradisional tertua di Asia Tenggara. Wayang kulit ini berkembang selatan Siam, selatan Myanmar, Utara Sumatra dan Utara Semenanjung (Kedah dan Perlis.). Di selatan siam dikenali sebagai Nang Talung manakala di utara Semenanjung disebut sebagai Wayang Gedek @ Gedik. , "Gedek" itu ialah sejenis wayang kulit yang diberikan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sewaktu berlangsungnya Bengkel Wayang Kulit di Port Dickson pada tahun 1979. Apa yang difahamkan dengan perkataan "gedek" ialah pergerakan patung-patung wayang kulit itu sendiri yang terlompat-lompat atau tergedik-gedik mengikut bahasa Melayu Kedah apabila ianya digerakkan atau dimainkan di kelir atau layar.

Rabu, 23 November 2011

RADEN MAS (PRASAT TONG)

Tersebut sebuah negeri Rajanya bernama Pramatad, mempunyai dua orang isteri, yang tua bernama Kim Surai dan yang muda bernama Kayamak. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Raden Mas yang sudah beristeri dengan Seri Bunga. Raden Mas ialah anak Raja Pramatad bersama isterinya Kim Surai. Sementara Kayamak isteri muda sedang hamil dan dia adalah berasal dari benih gergasi. 

Dalam satu masa Raja Pramatad hendak menabalkan Raden Mas menjadi Raja negeri itu. Maka timbullah dengki khianat dari Kayamak. Pada satu malam Kayamak berpura-pura demam dan memanggil Raden Mas masuk ke biliknya dan disuruhnya memicit-micit badannya. Dia buat terkejut dan mengoyakkan kain bajunya. Kayamak mempersembahkan pada Raja bahawa Reden Mas cuba memperkosanya. Raja Pramatad naik murka pada Raden Mas kerana katanya Raden Mas telah menceroboh masuk ke bilik isteri mudanya. Raja menghalau Raden Mas keluar negeri. Isterinya Seri Bunga dihantar kepada emaknya mentuanya Kim Surai. Raden Mas keluar bersama dengan hambanya. Dalam perjalanan sampailah waktu malam, dia berasa susah hati kerana teringatkan pada isterinya lalu timbul perasaan hendak membalas dendam terhadap ibu tirinya. Raden Mas kembali ke istana hendak membunuh ibu tirinya. Sampai di istana dia terus masuk ke bilik ibu tirinya, ditariknya keluar semasa ibu tirinya sedang tidur dan dipancungnya. Pada masa itu juga ibu tirinya yang sedang hamil telah melahirkan anak lelaki dan anak itu telah terpancut jatuh ke dalam satu Wat Siam Mahanasyi Teng. Selepas membunuh ibu tirinya Raden Mas balik ke dalam hutan memberitahu hambanya. Anak Kayamak yang jatuh ke dalam Wat Siam Maharasyi Teng telah dipeliharanya dan diberi nama Rampai. Maka Raden Mas bersama dengan hambanya pun pergilah membawa nasib berjalan masuk hutan ke luar hutan. 

Pada satu masa dewa-dewa dari Kayangan telah nampak Raden Mas berjalan-jalan dengan hambanya dia berasa kasihan lalu dipanggilnya anaknya yang bernama Dewi Ratna untuk menjadi jodoh dengan Raden Mas. Seorang lagi anak gadis dewa-dewa iaitu adik kepada Dewi Ratna ialah Dewi Geliga dimasukkannya ke dalam satu periuk besi dan dijatuhkan ke bumi. Dewa dewa berpesan dengan Dewi Geliga sekiranya ter­jadi sesuatu terhadap kakaknya maka Dewi Geligalah yang ber­tanggungungjawab. Periuk besi itu telah jttuh ke dalam hutan dan dijumpai oleh seorang Semang. Orang Semang itu tidak nampak bahawa di dalamnya ada Dewi Geliga kerana ia seorang yang sakti. Periuk itu dibawanya ke merata-merata tempeat. 

Tersebut pula tentang anak ibu tirinya yang dipelihara oleh Maharasyi Teng bernama Rampai. Apabila ia sudah besar pada satu malam dia bermimpi roh ibunya telah datang kepada­nya membaritahu bahawa dia telah mati kerana dibunuh oleh Raden Mas. Dia menyuruh Rampai mencari Raden Mas di negeri Anika Sakti. Rampai pun mohon pada Maharasyi hendak mengembara. Maharasyi tidak mengizinkan Rampai keluar tetapi diingkari oleh Rampai. 

Rampai pergi ke rumah Seri Bunga (isteri Raden Mas) dan menculiknya semasa dia sedang tidur. Seri Bunga kemudiannya dipancungnya sepertimana Raden Mas lakukan terhadap ibunya, Kayamak. Kepala Seri Bunga putus tergolek ­golek masuk ke negeri Gergasi Beeto. Badanya masih hidup dan teraba-raba di dalam hutan. Seri Bunga sedang mengandung tujuh bulan. Kononnya tubuhnya tidak mati kerana adalah tuah anak di dalam kandungannya. Kepala Seri Bunga telah diambil oleh gergasi Beeto dan dibungkus dengan kain putih dan disimpan dalam almari. Gergasi Beeto menyuruh anak perempuannya yang bernama Seri Pika menjaga kepala itu sementara dia pergi keluar mencari tubuhnya. 

Tersebut pula kisah di rumah Seri Bunga. Apabila emaknya terjaga dari tidur dia mendapati anaknya sudah tiada, tidak tahu ke mana hendak mencari Sari Bunga. 

Kemudian timbal pula kisah orang Semang di dalam hutan sedang berjalan-jalan, telah berjumpa dengan Raden Mas bersama Dewi Ratna. Orang Semang berkata mereka telah sesat dalam kediamannya, Raden Mas meminta periuk itu tetapi Semang tidak mahu memberinya maka berlakulah satu per­gaduhan antara Raden Mas dengan Semang. Raden Mas mengambil periuk itu dan dihempaskan lalu keluarlah Dewi Geliga datang menolong. Semang pun kalah dan melarikan diri. Selepas itu Raden Masa, Dewi Ratna, Dewi Geliga serta dua orang hamba pun balik hendak menemui anak Raden Mas. Sampai di rumah, Raden Mas bertanya pada emaknya ke mana pergi isterinya, Seri Bunga. Emaknya memberitahu isterinya sudah lama hilang. Mereka pergi menemui ahli nujum minta tolong tilik ke manakah pergi isterinya. Nujum berkata isterinya tidak mati tetapi kena pancung iaitu kepalanya disimpan oleh gergasi di negeri sebelah matahari terbit. Mereka pergi berjalan-jalan dan berjumpa dengan Gergasi Beeto sedang mencari tubuh Seri Bunga. Gergasi bertanya kepada Raden Mas hendak pergi ke mana. Katanya dia hendak mencari isterinya dan menurut kata Nujum Kepala isterinya disimpan oleh gergasi. Dia hendak melihat kerana mungkin kepala itu adalah kepala isterinya. Gergasi Beeto tidak membenarkannya, maka bangkitlah satu pertarungan di antara gergasi Beeto dengan Raden Mas. Raden Mas tidak berjaya mengalahkan gergasi Beeto dan lari balik menemui isterinya Dewi Ratna. Maka timbullah keinginan adik Dewi Ratna iaitu Dewi Geliga hendak menolong Raden Mas. Dewi Geliga dengan dua orang hambanya menyamar diri masuk ke dalam rumah gergasi. Dewi Geliga menjadi seorang tua dan dua orang hambanya menjadi perempuan sebagai anak-anaknya. Apabila mereka masuk ke rumah gergasi, orang tua itu (Dewi Geliga) berkata mereka tiga beranak sangat susah dan hendak menumpang bermalam di rumah gergasi. Gergasi bersetuju kalau dua orang perempuan itu sanggup menjadi isteri-isterinya. Orang tua itu pun bersetuju dua orang perempaun itu menjadi isteri gergasi. Kedua-dua perempuan itu bernama Maludi dan Maluda. Gergasi beri sebuah bilik dan Maludi dengan Maluda tidur bersama gergasi. 

Maludi memicit-memicit badan gergasi sementara Maluda mengambil Kepala Seri Bunga yang tersimpan di dalam almari bersama dengan racun yang apabila terkena sahaja akan menjadi reput. Setelah gergasi tertidur mereka pun lari keluar dari rumah gergasi membawa kepala Seri Bunga dan racun. 

Pada besok pagi Dewi Geliga keluar pula barsama dengan dua orang hambanya. Kali ini Dewi Geliga menyamar pula sebagai seorang perempuan dan hamba-hambanya menjadi laki-laki. Dalam perjalanan mereka bertemu dengan gergasi Beeto dan gergasi itu bertanya samada mereka berjumpa dengan Maludi dan Maluda serta orang tua yang melarikan kepala dan racun. Mereka berkata tidak berjumpa dengan sesiapa pun. Gergasi Beeto telah tertarik pada Dewi Geliga dan hendak mengambilnya sebagai isteri. Mereka berlawan dan Dewi Geliga mengambil racun dibalingkan pada muka gergasi lalu menjadi reput. Gergasi melarikan diri. Dewi Geliga berjalan-jalan lagi bersama dengan dua orang hambanya dan terjumpa dengan badan Seri Bunga lalu terus dibawa balik kepada Raden Mas. Raden Mas membawa badan dan kepala Seri Bunga pergi berjumpa dengan Mahaguru untuk berubat. Mahaguru berkata Seri Bunga tidak mati kerana tuah anak di dalam kandungannya. Mahaguru memuja dan disambungkan balik kepala dengan tubuh Seri Bunga maka Seri Bunga pun pulih semula lalu melahirkan seorang anak laki-laki diberi nama Dang Johan. Anak itu diserahkan kepada Mahaguru untuk dipelihara. Selepas melahirkan anak Seri Bunga pun mati. Raden Mas dengan isterinya Dewi Ratna ditabalkan menjadi Raja dan hidup aman damai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan