Pada zaman dahulu ada seorang dewa mempunyai seorang puteri. Dalam satu masa itu dewa itu hendak menghantar anaknya dari kayangan ke dunia. Dia masukkan anaknya itu ke dalam sekuntum bunga simpor dan dia berkata pada anaknya selagi belum cukup tempoh tiga tahun tiga bulan tiga hari anaknya tidak boleh keluar dari kuntum bunga itu. Apabila cukup tempoh baharulah kuntum bunga itu akan pecah dan anaknya boleh keluar. Dan apabila keluar dari bunga itu anaknya bolehlah pergi menuntut ilmu.
Tersebutlah kisah dua orang gergasi Wai Pak dan Palawan. Wai Pak mempunyai seorang anak gadis bernama Bupalan dan Palawan juga mempunyai anak gadis bernama Patni. Sebelum mereka keluar mencari makanan Wai Pak dan Palawan berpesan supaya Bupalan dan Patni menjaga dirin baik-baik.
Raja Besar ialah anak murid Maharasyi Matapi yang telah keluar bersama hambanya daripada pondok Maharasyi Matapi. Raja Besar telah membuat satu kesaktian dari atas pokok besar seperti suara perempuan meminta tolong dengan memanggil-manggil namanya.
Suara itu didengar oleh Wai Pak dan Palawan. Wai Pak dan Palawan sangat gembira dan mereka mengorek pokok besar itu supaya pokok itu tumbang dan bolehlah mereka mengambil perempuan itu untuk dijadikan isteri mereka. Mereka hendak memanjat pokok itu tidak dapat kerana terasa panas seperti api.
Mereka melarang Raja Besar supaya jangan hampir dengan mereka kerana di atas pokok itu ada seorang perempuan dan perempuan itu akan dijadikan isteri mereka. Raja Besar serta hambanya mentertawakan mereka kerana membuat kerja yang sia-sia. Gergasi Wai Pak dan Palawan menjadi marah lalu berlawan dengan Raja Besar dan dibaling Raja Besar sehingga jatuh di tepi gua tempat anak gergasi Wai Pak iaitu Bupalan.
Kebetulan Bupalan sedang bersiar-siar di dalam taman dan ternampak seorang lelaki masuk di dalam taman itu. Raja Besar memberi tahu padanya bahawa dia bukanlah sengaja datang ke situ tetapi telah dibaling oleh gergasi Wai Pak kerana dia telah mentertawakan gergasi Wai Pak dan Palawan yang sedang mengorek pokok besar kerana mendengar suara seorang perempuan di atas pokok. Raja Besar dan Bupalan telah berkasih sayang seperti suami isteri.
Pada waktu malam Raja Besar tidak boleh tidur kerana teringat pada hambanya lalu keluar pergi mencari hambanya. Kemudian Raja Besar sampai pula dalam sebuah taman dan berjumpa dengan Patni anak gergasi Palawan. Raja Besar menceritakan pada Patni bahawa dia sedang mencari hambanya dan mereka berkasih sayang pula seperti suami isteri. Apabila sampai waktu malam Raja Besar tidak senang tidur lalu dia keluar pula meninggalkan Patni seorang diri.
Timbullah kisah gergasi Wai Pak dan Palawan. Mereka balik dalam keletihan dan mendapati anak mereka menangis kerana ditinggalkan Raja Besar. Bupalan mengajak ayahnya pergi mencari suaminya dan Patni juga mengajak ayahnya pergi mencari suaminya. Mereka sama-sama keluar mencari suami anak mereka yang hilang.
Timbul satu kisah lain anak gadis gergasi bernama Puteri Pengasih yang duduk dengan seorang nenek kebayan. Nenek kebayan itu sangat pandai tentang ilmu pengasih jadi Puteri Pengasih telah menuntut ilmu dengan nenek kebayan itu. Puteri Pengasih itu telah keluar bersiar-siar dan terjumpa dengan Raja Besar seorang diri. Raja Besar memberitahu Puteri Pengasih bahawa dia telah tersesat jalan mencari hambanya.
Kebetulan hambanya telah sampai ke situ dan hambanya telah bersetuju Raja Desar menjadikan Puteri Pengasih sebagai isterinya. Mereka bertiga pun berjalanlah hendak balik. Dalam perjalanan mereka telah berjumpa dengan gergasi Wai Pak dan Palawan serta anak-anak mereka. Mereka hendak menyerah balik anak mereka menjadi isteri Raja Besar tetapi kata Raja Besar sekiranya Puteri Pengasih bersetuju maka dia pun bersetuju. Puteri Pengasih menerima mereka dan gergasi Wai Pak dan Palawan berpesan pada Raja Besar dan Puteri Pengasih suruhlah anak mereka membuat sebarang kerja nanti akan dibuat oleh Bupalan dan Patni. Mereka pun berjalan balik ke kota Raja Besar. Apabila sampai dalam kota Raja Besar, ayahnya bertanya isteri yang manakah yang Raja Besar lebih sayang. Raja Besar berkata isterinya yang bernama Puteri Pengasih.
Dalam satu hari Puteri Pengasih menyuruh Bupalan dan Patni membuat kerja. Dia memberikan sehelai kain hitam kepada Bupalan dan menyuruh membasuh kain itu hingga putih dan menyuruh Patni menjual sekati daging hingga dapat seribu ringgit. Patni pun membawa daging itu ke merata tempat dan sampai pada satu tempat dia berasa dahaga dan disangkutkannya daging itu pada batang tunggul. Kemudian dia turun ke paya hendak minum air. Apabila dia naik semula didapati daging itu telah dilarikan oleh burung geruda. Patni memberanikan diri balik ke rumah.
Setelah Puteri Pengasih mendapati Bupalan dan Patni tidak berjaya membuat apa yang disuruhnya mereka berdua dimaki hamun dan disiksa. Raja Besar tidak berkata apa hanya mengikut sahaja apa yang diperintahkan oleh Puteri Pengasih.
Pada satu masa apabila sudah sampai tempoh tiga tahun tiga bulan tiga hari kuntum Bunga pun pecah. Puteri Bunga Simpor pun pecah dan keluarlah puteri itu pergi menuntut ilmu. Semasa dia menuntut ilmu dia naik panas hati lalu, mohon pada Mahaguru keluar. Puteri Bunga Simpor dapat ilmu terbang lalu dia terbang ke sana sini dan ternampak Puteri Pengasih sedang menyiksa dua orang perempuan. Dia turun dan bertanya mengapa dua orang perempuan itu disiksa. Lalu Puteri Bunga Simpor berlawan dengan Puteri Pengasih dan dibunuhnya Puteri Pengasih. Setelah Puteri Pengasih mati maka Raja Besar pun berkahwin pula dengan Puteri Bunga Simpor dan dua orang isterinya Bupalan dan Patni di jadikan gundik.
<< Halaman Lain
Wayang Kulit merupakan salah satu seni teater tradisional tertua di Asia Tenggara. Wayang kulit ini berkembang selatan Siam, selatan Myanmar, Utara Sumatra dan Utara Semenanjung (Kedah dan Perlis.). Di selatan siam dikenali sebagai Nang Talung manakala di utara Semenanjung disebut sebagai Wayang Gedek @ Gedik. , "Gedek" itu ialah sejenis wayang kulit yang diberikan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sewaktu berlangsungnya Bengkel Wayang Kulit di Port Dickson pada tahun 1979. Apa yang difahamkan dengan perkataan "gedek" ialah pergerakan patung-patung wayang kulit itu sendiri yang terlompat-lompat atau tergedik-gedik mengikut bahasa Melayu Kedah apabila ianya digerakkan atau dimainkan di kelir atau layar.
Selasa, 22 November 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan