<< Halaman Lain

Wayang Kulit merupakan salah satu seni teater tradisional tertua di Asia Tenggara. Wayang kulit ini berkembang selatan Siam, selatan Myanmar, Utara Sumatra dan Utara Semenanjung (Kedah dan Perlis.). Di selatan siam dikenali sebagai Nang Talung manakala di utara Semenanjung disebut sebagai Wayang Gedek @ Gedik. , "Gedek" itu ialah sejenis wayang kulit yang diberikan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sewaktu berlangsungnya Bengkel Wayang Kulit di Port Dickson pada tahun 1979. Apa yang difahamkan dengan perkataan "gedek" ialah pergerakan patung-patung wayang kulit itu sendiri yang terlompat-lompat atau tergedik-gedik mengikut bahasa Melayu Kedah apabila ianya digerakkan atau dimainkan di kelir atau layar.

Selasa, 22 November 2011

AWANG KUDIS BUTA

Di dalam sebuah negeri bernama Cempaka Seri, Rajanya bernama Tapuran dan isterinya bernama Klin Campa. Mereka mempunyai tiga orang anak gadis sudah berumur tetapi belum berkahwin lagi. Ketiga-tiga gadis itu ialah Seri Mala, Seri Mali dan Seri Bunga. Raja suami isteri sangat bimbang kerana anak-anak mereka masih belum mempunyai suami.

Pada suatu hari mereka berbincang mengenai jodoh anak-anak mereka. Mereka menyuruh ketiga-tiga gadis itu memetik bunga seorang sekuntum dan di dalam kelopak bunga itu dituliskan nama masing-masing. Bunga-bunga itu dilambungkan ke udara dan berjanji sekirananya bunga itu jatuh pada sesiapa pun akan menjadi jodoh anaknya tidak kira sama ada huduh, capek atau apa sekali pun akan menjadi jodoh anaknya, Dia patuh akan mengambil menjadi menantunya. Ketiga-tiga gadis itu pun melam­bung bunga-bunga ke udara. 

Bunga Seri Mala telah jatuh dalam sebuah negeri dan dapat pada anak Raja bernama Seri Pikun. Dia pergi memberitahu pada ayah ibunya bahawa dia telah mendapat sekuntum bunga yang bertulis Seri Mala di kelopak bunga itu, Seri Pikun hendak mencari gadis yang bernama Seri Mala walau di mana dia. berada. Ayah dan ibunya membenarkan. Seri Pikun pun berjalanlah dan sampai di negeri Cempaka Seri dan menunjukkan sekuntum bunga yang dia dapat bertulis nama Seri Mala. Raja bersetuju menerima Seri Pikun menjadi suami Seri Mala.

Tersebut Pula tentang bunga Seri Mali telah jatuh ke negeri gergasi  perempuan yang mempunyai seorang anak angkat manusia bernama Painawong. Dia memberitahu ibunya hendak keluar mencari siapakah yang bernama Seri Mali. Ibunya melarang sebab dia sudah bertunang dengan gadis lain. Tetapi Painawong tidak menghiraukan kata‑kata ibunya dia pergi keluar juga. Raja Tepuran ber­kenan padanya dan menerimanya menjadi menantunya.

Tersebut pula tenting bunga Seri Bunga telah jatuh ke dalam sebuah dusun orang tua yang mempunyai seorang anak bernama Awang Kudis Buta. Dia digelar Awang Kudis Buta kerana badanya penuh dengan kudis. Sebenarnya Awang itu telah dijumpai oleh orang tua itu di dalam hutan sedang menangis kesakitan, lalu dipelihara oleh orang tua itu sebagai anak angkatnya. Awang membawa bunga itu ke negeri Cempaka Sari dan menunjukkan kepada Raja Tapuran. Raja melihat bunga itu ialah kuntum bunga yang dilambung oleh anak bongsunya yang bernama Seri Bunga. Oleh kerana Raja Tapuran  melihat Awang yang sangat huduh itu penuh dengan kudis buta, baginda pun tidak sanggup hendak menerima Awang menjadi menantunya. Raja hendak menebus balik bunga itu dengan harga lima ratus ringgit. Bunga itu Raja hendak serahkan kepada orang lain tetapi Awang tidak mahu memberinya, Awang berkeras hendak ber­kahwin dengan Seri Bunga. Akhirnya Raja bersetuju menerima Awang dengan syarat Awang sanggup mencari sebentuk cincin permata yang telah hilang sejak dua puluh tahun dahulu di dalam Gua Batu Belah Batu Ber­tangkup. Awang hendaklah mencari cincin itu hingga jumpa sekiranya ingin mengahwini Seri Bunga. 

Awang pergi dengan seorang hambanya ke Gua Batu belah Batu bertangkup. Mereka sampai pada waktu malam dan tidak boleh hendak masuk kerana gelap.  Mereka menunggu  di luar pintu gua hingga tertidur di situ. Semasa mereka sedang tidur, dewa-dewa dari kayangan telah nampak lalu mengambilkan cincin permata di dalam gua dan dimasukkan pada jari Awang. Pada besok pagi apabila terjaga dari tidur Awang dapati cincin permata sudah berada dijarinya, lalu membawa balik hendak di­serahkan kepada Raja Tapuran.

Timbul pula kisah Raja Tapuran dengan anaknya", Seri Bunga. Raja Tapuran takut Awang berjaya mencari cincin tersebut lalu baginda menulis satu surat kepada kawannya gergasi bernama Askam dan anaknya Askrot. Bunyi isi surat itu menyuruh gergasi  melarikan Seri Bunga agar tidak dapat berkahwin dengan Awang. Askam menculik Seri Bunga dan memaksa berkahwin dengan Askrot . Seri Bunga tidak mahu dan dia berusaha mencari jalan keluar dari rumah gergasi.

Tidak berapa lama kemudian Awang Kudis Buta pun sampai membawa cincin permata dan menunjukkan cincin itu pada Raja Tapuran. Raja mengatakan cincin itu bukan cincin permata yang dimaksudkan. Kemudian cincin itu ditunjukkan pula pada isterinya dan orang besar ­besar, mereka mengatakan cincin itulah yang sebenarnya. Raja memberitahu Awang sebenarnya Seri Bunga telah berkahwin dengan anak gergasi bernama Askrot. Awang keluar mencari gergasi dan di tengah jalan telah berjumpa dengan gergasi Askrot yang sedang mencari Seri Bunga yang telah melarikan diri. Mereka berlawan dan gergasi menangkap Awang dibalingkan hingga jatuh ke negeri gergasi perempuan  yang mempunyai menantu bernama Seri Mali. Awang bertanya adakah Seri Bunga telah melarikan diri ke situ.

Gergasi perempuan itu menjawab dia hanya mempunyai menantu bernama Seri Mali. Kemudian Awang berlawan dengan gergasi perempuan itu dan gergasi itu mati. Awang mengajak Seri Mali dan suaminya Painawong keluar dari situ. Dalam perjalanan mereka berjumpa pula dengan Seri Mala bersama suaminya Seri Pikun. Mereka pun balik menemui Raja Tapuran di negeri Cempaka Seri  dan kebetulan Seri Bunga telah selamat balik. Maka Raja Tapuran bersetuju mengahwinkan Seri Bunga dengan Awang. Apabila Seri Bunga mengandung tujuh bulan suaminya telah bertukar menjadi seorang manusia yang mempunyai rupa paras yang cantik. Kemudian Raja Tapuran menabalkan Awang menjadi Raja negeri Cempaka Seri oleh kerana baginda sudah tua lagi uzur. Maka Awang pun tinggallah aman damai suami isteri di negeri Cempaka Seri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan